Aplikasi mobil JAWHAR merupakan medium bagi menghebahkan maklumat-maklumat yang perlu diketahui oleh masyarakat Islam di negara ini dalam urusan derma/sedekah, memberi panduan dalam membuat pemilihan agensi pengelola umrah yang tepat bagi menguruskan perjalanan umrah mereka, memberi informasi tentang pembangunan projek hartanah wakaf di Malaysia, jurnal-jurnal terbitan JAWHAR dan tesis berkaitan isu dan permasalahan dalam bidang teras JAWHAR.
Aplikasi mobile JAWHAR menggabungkan 5 (lima) fungsi utama iaitu:
i. e-Khairat
Memberi kemudahan dan manfaat masyarakat supaya tidak tertipu dan tidak mensia-siakan sumbangan wang yang disedekahkan demi kepentingan agama, namun disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Menyemak maklumat organisasi atau pemungut derma/ sedekah dengan kebenaran Majlis Agama Islam mengikut negeri di Malaysia.
ii. i-Umrah
Bagi menyalurkan maklumat mengenai agensi-agensi pengelola umrah yang sah sebagai rujukan dan panduan kepada bakal-bakal jemaah umrah negara ini. Secara dasarnya, i-Umrah ini menyediakan maklumat-maklumat seperti berikut:
- Senarai agensi pengelola umrah yang sah bagi menguruskan perjalanan jemaah umrah Malaysia; dan
- Butiran mengenai syarikat pengelola umrah seperti nama syarikat, nombor telefon dan faks.
i-Umrah diharapkan dapat mencapai objektifnya untuk bertindak sebagai medium bagi menghebahkan maklumat-maklumat yang perlu diketahui oleh masyarakat Islam di negara ini dalam memilih agensi pengelola umrah yang tepat bagi mengelolakan perjalanan umrah mereka. Peranan i-Umrah ini amat penting supaya masyarakat Islam di negara ini tidak lagi menjadi mangsa penipuan pihak-pihak tidak bertanggungjawab di samping menjadi pemangkin ke arah penyampaian perkhidmatan pengelolaan umrah yang berkualiti.
iii. i-Wakaf
Menyediakan informasi pelaksanaan Program Pembangunan Tanah Wakaf JAWHAR di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMK) bersama MAIN dengan membangunkan ikon – ikon projek Wakaf yang berimpak besar dan bersifat people centric kepada masyarakat seperti premis hotel, pusat perniagaan, pusat kesihatan, pusat pendidikan, perumahan dan kebajikan. Ia juga memaparkan statistik data-data tanah Wakaf di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
iv. Jurnal
Senarai jurnal terbitan JAWHAR.
v. Tesis
Kompilasi tesis yang dikumpul adalah berkaitan bidang teras JAWHAR iaitu Wakaf, Zakat, Mal dan Haji serta Umrah dimana tesis tersebut dikumpulkan daripada beberapa pusat pengajian tinggi tempatan. Di antara pusat pengajian tinggi yang terlibat ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan beberapa lagi pusat pengajian tinggi yang lain.
Peranan aplikasi ini amat penting supaya masyarakat Islam di negara ini tidak lagi menjadi mangsa penipuan berkaitan kutipan derma/sedekah dan juga penipuan pakej umrah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Aplikasi mobil JAWHAR merupakan sebahagian usaha gigih dan berterusan pihak JAWHAR dalam memperkemas dan meneruskan kesinambungan transformasi untuk menyediakan input terbaik kepada masyarakat Islam di Malaysia khususnya berkaitan Wakaf, Zakat, Haji dan Sumber Am.
feeda
07 Mar 2017 03:05 am